14 Disember 1984
YANG TUA DAN YANG USANG
Dengarlah wahai anakku
Dari wajah-wajah yang buruk
Tidak terjeruk segala yang busuk
Dari wajah yang ayu
Tidak terpancar semua yang bermadu
Bila panas sehari
Kedengaran merengek anak maya
Bila huja semalam
Tidak terlingkar senyum di dada
Mengapa demikian anak insan
Hujan panas rahmatnya sama
Kalau panas sepanjang zaman
Setitik air tiada nilainya
Bila hujan mencurah bumi
Bila suria menyorok diri
Selaut air tiada harganya
Sepancar sinar menggunung bahagia
Mengapa demikian wahai insan
Menjauh diri di gelap malam
Lari dari lembah yang curam
Hanya mau dibelai sayang
Tidakkah kau fikir wahai anakku
Syurga itu dilindungi kelam
Tidurmu lena di gelap malam
Dalam kepanasan yang mencengkam
Kau cari kedinginan yang membeku
Aku tahu anakku......!
Engkau membenci segala yang usang
Engkau mencemuh segala yang buruk
Tetapi jangan kau lupa
Dalam perutmu sendiri
Terkumpul segala yang bususk
Dan buruk
Dengan bau dan warna
Tetapi itulah inti
Itulah pati
Yang membina kekuatan jasadmu
Dengarlah wahai anakku.....!
Dalam laut kehidupan ini
Tiada yang jelik tiada yang baik
Yang ada hanya perimbangan
Di antara dua silih berganti
Di antara yang kosong dan yang padu
Engkau menghela nafas terakhir hayatmu
Jadi jangan kau hina segala yang busuk
Atau memusuhi segala yang buruk
Kerana yang kau hina itu
Adalah dirimu sendiri
Sedarlah anakku........!
Apa yang kau terima itu
Adalah titisan yang dulu
Apa yang kau cipta sekarang
Titisan yang berpanjangan
Kerana yang tua dan yang usang
Adalah warisan sejarah
Penyambung zaman dan keturunan
A....
Semoga Allah berkati segala usahamu yang diredhai Nya.
Semoga kau sentiasa mendapat petunjuk dan bimbingan
dalam memilih persimpangan jalan menuju ke arah kebenaran.
Amin...
Doaku,
K.......
Jumaat 6.30 pm
Sunday, January 31, 2010
Posted by SAYA at 6:48:00 PM
Labels: sajak
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment